Bintang Manchester United, Bruno Fernandes, meredakan isu perbalahannya dengan rakan sepasukan, Victor Lindelof, selepas The Red Devils tersingkir daripada Liga Europa.

United muncul wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pertama terkandas di peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan yang berbeza dalam musim yang sama susulan kekalahan 1-2 kepada Sevilla, awal pagi tadi.

Fernandes, yang membantu The Red Devils mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala FA, meletakkan anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu di depan seawal minit kesembilan menerusi sepakan penalti sebelum Suso mengikat kedudukan 1-1, 17 minit kemudian dalam pertemuan di Cologne.

Benteng United terdedah selepas Lindelof dan Aaron Wan-Bissaka dihukum pemain gantian Sevilla, Luuk De Jong, yang menghadiahkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 12 minit.

Situasi itu memicu perbalahan apabila Fernandes melepaskan kekecewaannya terhadap Lindelof dan cara United bertahan, tetapi pemain tengah tersebut menegaskan seluruh skuad berkenaan harus bertanggungjawab.



"Kami menganggap gol yang dibolosi sebagai kesilapan semua pihak, bermula di bahagian serangan," katanya selepas perlawanan.

"Kami gagal mengekang jaringan lawan dalam babak pertama yang berpunca daripada balingan ke dalam, kami harus lebih baik dalam soal memberi tekanan, mereka tidak boleh mara dengan mudah. ​​Selepas itu kami kerap melakukan kesilapan demi kesilapan. Kami berang apabila dibolosi tetapi kesalahan adalah terletak di tangan semua pemain, bukannya kesalahan seorang sahaja, sebaliknya seluruh pasukan.

"Ini bukan mengenai saya atau Victor, ini mengenai segala-galanya. Apa yang berlaku di antara kami tidak serius. Ia adalah perkara biasa. Inilah bola sepak. Ia boleh berlaku. Kami saling mengambil berat.

"Perkara ini juga boleh berlaku berkali-kali dalam pasukan berbeza. Perkara yang paling penting ketika ini ialah melihat kesilapan yang telah dilakukan sambil berharap dapat memperbaiki diri bagi perlawanan seterusnya."

United mempunyai peluang-peluang menarik untuk kembali memimpin pada awal babak kedua, tetapi gagal diterjemahkan Anthony Martial dan rakan sepasukannya.

Sementara itu, penyudah Sevilla terbukti lebih klinikal berbanding United -- yang membuat 46 percubaan, 21 percubaan tepat ketika menentang Copenhagen dan wakil LaLiga berkenaan, tetapi hanya mampu menyumbar dua gol, itupun menerusi tendangan penalti dalam aksi suku akhir dan separuh akhir.

Bekas kapten CP Sporting itu menambahkan: "Saya rasa kami beraksi dengan baik. Kami mencipta banyak peluang, kami perlu menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol lagi.

"Kami mencipta deretan peluang tetapi jika kami tidak menjaringkan gol, ia tidak memadai. Semua orang pasti sedih, kami turun untuk memenangi semua perlawanan, untuk berada dalam final tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

"Usaha kami masih belum cukup kerana kami beraksi buat Manchester United untuk memenangi piala dan musim ini kami tidak menjulang sebarang trofi. Bagi saya ia tidak mencukupi, saya perlu meningkatkan usaha lagi."