Bruno Fernandes akan menjadi seorang pemimpin di Manchester United dan bakal bersama skuad berdepan Wolves hari ini, jelas pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.

United secara rasmi menandatangani Fernandes dengan kontrak selama lima setengah tahun daripada Sporting CP semalam dengan yuran perpindahan EURO55 juta (RM249 juta).

Solskjaer tidak mengharapkan kemasukan pemain lain di Old Trafford sebelum tamat jendela perpindahan semalam tetapi percaya kualiti kepimpinan Fernandes di bahagian tengah bakal menjadi penambahan yang bagus dalam pasukan.

Ditanya mengapa mengambil masa yang lama sebelum menandatangani Fernandes, sasaran jangka panjang buat United, Solskjaer berkata, "Ia mengenai pengaturan masa, keutamaan dan juga penilaian, wang. Dia seorang pemain yang sangat bermakna kepada kelab terdahulu dan mereka cuba untuk memastikan dia tidak berpindah.

"Kami sangat gembira kerana akhirnya Fernandes sudah menyertai United. Kami telah mengikuti perkembangannya sejak beberapa tahun lalu. Dia telah berkembang tahun demi tahun, semakin matang dan mempamerkan prestasi yang berkualiti.

"Dia seorang pemimpin kepada pasukannya. Walaupun spekulasi mengelilinginya, kemungkinan hampir setiap kelab di Eropah telah dikaitkan dengan dirinya, Fernandes kekal fokus dan bermain dengan baik.

"Ia membuktikan betapa profesional dirinya sebagai seorang pemain. Ketika anda bertemunya, dia seorang yang menakjubkan."



Editor: Ammar Hakim