Legenda Manchester United, Rio Ferdinand, telah menyatakan kekagumannya terhadap Raphael Varane, melabelkan pemain Perancis itu sebagai 'bek tengah bertaraf dunia yang tulen'.

Pertahanan Real Madrid itu difahamkan akan tinggal beberapa hari sahaja lagi daripada perpindahan ke Old Trafford dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak GBP42.7 juta selepas Ole Gunnar Solskjaer akhirnya menemui pasangan yang sesuai untuk Harry Maguire.

United sebelum ini melengkapkan salah satu sasaran daripada senarai perpindahan mereka ketika mereka mengumumkan kedatangan Jadon Sancho, walaupun Varane akan memberikan pengalaman yang sangat diperlukan di benteng pertahanan The Red Devils.

Dan bagi bekas pemain pertahanan United, Ferdinand, yang mengumpulkan 455 penampilan dan memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di Manchester, tidak dapat menahan kegembiraannya dengan kedatangan Varane.

"Dia memiliki kepantasan serta ketenangan," kata Ferdinand di saluran YouTube berjudul 'Rio Ferdinand Presents FIVE'.

"Kami telah menandatangani bek tengah kelas dunia yang tulen. Senarai penghormatannya tidak masuk akal, sepanjang lengan saya."

Ternyata, Varane seorang pemain yang pengalaman, setelah memenangi Piala Dunia 2018 dan mengumpulkan tiga gelaran LaLiga dan empat Liga Juara-Juara (UCL) bersama Real.

Walaupun bermain keempat-empat permainan dalam Euro 2020, pertahanan kebangsaan Perancis itu merupakan satu-satunya pertahanan bimbingan Didier Deschamps tidak dilepasi mana-mana pemain lawan.



Ferdinand, yang berpindah ke United dari Leeds United pada 2002, memuji bekas rakan sepasukan, Solskjaer, dan barisan pengambilan pemain United sepanjang jendela perpindahan ini.

"Tugas yang baik dilakukan oleh perekrut di Manchester United. United pernah dikritik pada masa lalu, dan memang demikian, kerana kerap bermain tarik-tali dalam jendela perpindahan," tambah bekas bek tengah itu.

"Kali ini tidak, mereka mencari pemain yang diperlukan mereka mendapatkannya. Tidak diragukan lagi dalam fikiran saya, dia akan berkata kepada Real Madrid 'Saya memerlukannya, saya menginginkannya, saya harus pergi ke United'."