Legenda Manchester United, Rio Ferdinand, mempersoalkan masa depan Marcus Rashford, bersama Red Devils selepas penyerang itu hanya pemain gantian ketika bertemu Leicester City.

Skuad kendalian Ralf Rangnick, yang tanpa Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani, tempang ketika seri 1-1 Sabtu lalu dengan Fred menafikan jaringan pembukaan Kelechi Iheanacho di Old Trafford.

Rashford yang dinamakan sebagai pemain gantian di sebalik ketiadaan gandingan penyerang United itu, dengan Bruno Fernandes dan Paul Pogba dipilih untuk mengisi jentera serangan sebelum pemain kebangsaan England itu diperkenalkan pada minit ke-55.

Pemain berusia 24 tahun itu menawarkan sedikit sinar selepas diperkenalkan namun gagal melakukan sebarang impak sehingga perlawanan berakhir.

Sejak ketibaan Rangnick, Rashford hanya turun beraksi lima kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Disember.

Rangnick menjelaskan keputusannya selepas perlawanan kerana dia menyatakan kurang keyakinan terhadap Rashford, yang telah menjaringkan empat gol selepas hadir sebagai pemain gantian, tetapi Ferdinand mempersoalkan keengganan untuk mempercayai penyerang itu.

"Apa yang Rashford mesti fikirkan sekarang - wow," kata Ferdinnd di saluran YouTubenya FIVE. “Mungkin ada rundingan kontrak baharu di sebalik tabir tetapi jika anda adalah dia, anda terfikir, ‘Bagaimana saya boleh kekal di sini?’.

"Anda berfikir, 'Pengendali ini tidak menyukai saya. Bagaimana saya boleh menandatangani kontrak ini sedangkan pasukan lebih suka bermain tanpa penyerang daripada bermain dengan saya?'.

"Saya tidak mengatakan dia sempurna. Jika saya Rashford, saya fikir Rangnick tidak menilai saya jika dia akan bermain dua pemain tengah di hadapan.

"Dia tidak bermain dengan cukup baik untuk dipilih jika Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani cergas. Ia adalah kes yang berbeza apabila dia menghadapi perlawanan tanpa penyerang.

"Seberapa teruk dia mesti berlatih? Seberapa banyak perlu Rangnick menilai sebelum membenarkan Rashford menyertai perlawanan seperti itu?"

United semakin ketinggalan dalam perlumbaan kelayakan Liga Juara-Juara, kini berada di belakang tiga mata di belakang tempat keempat, dengan pertembungan Red Devils seterusnya akan menentang Everton Sabtu ini.