Fenerbahce mengumumkan telah menandatangani penyerang, Islam Slimani, daripada Leicester City.

Kelab Turki itu mendedahkan ketibaan pemain antarabangsa Algeria itu di laman web rasmi mereka walaupun Leicester belum mengesahkan perjanjian tersebut.

Menurut Fenerbahce, Slimani akan menyertai mereka secara pinjaman untuk musim 2018-19 selepas menyelesaikan ujian perubatan dan menandatangani kontrak.

Pemain berusia 30 tahun itu kerap menjaringkan gol dalam tempohnya bersama Sporting di Portugal tetapi berhempas-pulas di England, dengan hanya meraih lapan gol untuk Leicester dalam Liga Perdana.

Dia menghabiskan separuh kedua kempen 2017-18 dengan dipinjamkan ke Newcastle United, namun gagal menjaringkan gol dalam empat penampilan.