Pertahanan Perancis, Adil Rami, telah menyertai Fenerbahce selepas disingkirkan oleh Marseille.

Kontrak pemain berusia 33 tahun itu ditamatkan oleh kelab Ligue 1 itu dua minggu lalu selepas didapati ponteng latihan disebabkan terlibat dengan satu program realiti televisyen.

Rami -- yang memperkuatkan Marseille selama dua tahun selepas berkhidmat untuk Lille, Valencia, AC Milan dan Sevilla -- diberikan kontrak selama setahun oleh Fenerbahce dengan pilihan lanjutan 12 bulan.

"Saya sangat gembira untuk berada di sini," katanya kepada laman web rasmi kelab Turki itu.

"Saya telah menyaksikan perlawanan setempat sebelum ini dan wujud semangat yang sebenar.

"Saya akan mula berlatih sekarang bersama rakan sepasukan yang baru. Saya akan mencari identiti sendiri perlahan-lahan, kemudian bersedia untuk perlawanan.

"Saya sangat bangga untuk berada di sini. Saya akan melakukan yang terbaik setelah menjadi sebahagian daripada keluarga Fenerbahce."

Rami merupakan salah seorang pemain yang menjulang trofi Piala Dunia bersama Perancis tahun lalu tetapi tidak tampil dalam sebarang perlawanan.