Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata kemenangan pasukannya dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi bermula dengan persembahan cemerlang Marouane Fellaini, yang menggantikan Paul Pogba di awal permainan kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Mourinho tidak menyedari betapa serius masalah itu pada awalnya tetapi mencadangkan pemain-pemain tengah yang dimilikinya, termasuk Fellaini, berupaya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bintang Perancis itu.

"Saya masih belum berbincang dengan pegawai perubatan kami. Kami memiliki skuad untuk mengharungi perkara ini -- kecederaan dan penggantungan.

"Tetapi kami tidak mengeluh. Jika Pogba tidak beraksi, kami memiliki Ander Herrera, Michael Carrick, Fellaini dan Nemanja Matic," katanya

Bercakap khusus mengenai Fellaini, Mourinho menambah, "Dia adalah seorang pemain yang memiliki kualiti istimewa yang tidak dimiliki oleh pemain-pemain lain.

"Saya melihat dia sebagai salah seorang pemain yang penting untuk United walaupun kadang-kala saya tidak memilih untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama," jelasnya.

Seorang lagi pemain yang mendapat pujian Mourinho adalah Romelu Lukaku, yang menjaringkan gol keenam sepanjang dia beraksi untuk United.

Penyerang Belgium itu enggan dibuai dengan persembahannya, sebaliknya memberi keutamaan untuk bangkit daripada keputusan seri 2-2 dengan Stoke City.

"Saya gembira dengan kemenangan ini," kata Lukaku.

"Kami mahu bangkit daripada seri dengan Stoke."