SELANGOR 3 FELDA UNITED 1

Misi Felda United untuk bangkit selepas tewas dua perlawanan berturut-turut tidak kesampaian apabila mereka kecundang 3-1 di tangan Selangor dalam aksi Liga Super, malam ini.


Tewas 2-1 kepada Kelantan dalam aksi Liga Super minggu lalu, The Fighters turut tewas dalam aksi pertengahan minggu 2-0 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala FA kelmarin.

Bagaimanapun, misi memburu kebangkitan bagi anak buah Mohamad Nik gagal dilunaskan, sebaliknya Selangor yang berjaya meraih tiga mata di Stadium Selayang.

Skuad kendalian P. Maniam membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi pemain import, Victor Astafei.

The Red Giants kemudian menggandakan jaringan menerusi Raimi Mat Nor pada minit ke-43 sejurus selepas Astafei gagal menyudahkan sepakan penalti.

Tatkala babak pertama bakal berakhir dengan keputusan 2-0, Rizal Fahmi menambah keceriaan penyokong tuan rumah apabila meledak gol ketiga perlawanan.

Felda terpaksa menunggu hingga ke minit-84 untuk meledak gol hasil sumbangan Lucas Cano -- gol sulung pemain itu musim ini -- namun jaringan tersebut nyata terlalu lewat untuk menyuntik sebarang kebangkitan.

Kekalahan tersebut meletakkan Felda menghuni tangga ke-10 liga, satu mata di hadapan Melaka United yang masih kurang dua perlawanan.

Selangor pula berkongsi lapan mata dengan Kedah -- yang bakal berdepan Kelantan esok -- di persada liga.

Berikut keputusan Liga Perdana yang beraksi hari ini:

JOHOR DARUL TA'ZIM II 1-0 SABAH

KUANTAN 3-2 MISC MIFA

NEGERI SEMBILAN 3-2 TERENGGANU

ATM 1-3 UITM FC

PERLIS 1-2 PKNP FC

Kredit foto: Laman Facebook Selangor FA