Felda United terdesak untuk menempah slot final Piala FA sebagai sesuatu untuk dibanggakan selepas hampir pasti tersingkir daripada Liga Super.

The Fighters kini di ambang penyingkiran apabila terperosok di tangga tercorot Liga Super.

Bagaimanapun, mereka masih berpeluang untuk melakar kejutan ke atas Kedah dalam separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini walaupun ketinggalan 0-1 secara agregat.

Seandainya berjaya, ia pasti akan menyuntik semangat baru buat skuad kendalian Nidzam Jamil itu berbaki empat perlawanan liga musim ini.

"Keputusan dalam Liga Super adakalanya tidak begitu positif.

"Namun, kami sentiasa bermain baik dalam Piala FA.

"Mungkin sebab cabaran, motivasi dan keinginan yang berbeza.

"Secara tiba-tiba, kami berada dalam separuh akhir dan berpeluang ke final dengan pemain-pemain muda yang ada," kata Nidzam.

"Ia satu-satunya perluang untuk kami membuktikan sesuatu buat pasukan ini.

"Ini peluang paling dekat, liga kita kena tolak ke tepi dahulu.

"Buat masa ini, kami perlu fokus kepada perlawanan separuh akhir ini," tambah kapten pasukan, Hadin Azman

Felda United akan turun dengan kesebelasan terbaik di Jengka selepas penyerang utama, Hadin, tidak dapat beraksi di Alor Setar minggu lalu ekoran masalah kecergasan.

Selain itu, tonggak pertahanan, Thiago Aquinho dan Masaki Watanabe, juga akan kembali daripada penggantungan perlawanan.

"Kami amat bersemangat nak lawan dengan Kedah dalam perlawanan kedua ini kerana kami tiada apa untuk dikesalkan.

"Kami pasukan bukan pilihan dan ini pun sudah cukup jauh buat kami.

"Saya harap kami dapat memberikan yang terbaik dalam perlawanan malam ini," tambah Hadin.