Jurulatih Felda United, Irfan Bakti, mengakui keputusannya mengundurkan diri adalah kerana gagal melunaskan sasaran meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pengumuman Irfan di dalam bilik persalinan pada Sabtu jelas menyentuh emosi pemain-pemain.

Suasana hiba menyelubungi bilik persalinan Felda United selepas tamat perlawanan menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Irfan membuat pengumuman mengejut kepada anak buahnya apabila memutuskan untuk tidak lagi membimbing The Fighters musim depan.

Irfan mengakui beliau bertangunggjawab sepenuhnya di atas kegagalan skuad Felda dalam persaingan merebut mahkota kejuaraan musim ini.

"Felda bangkit sama seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor selaku pasukan elit.

"Bagaimanapun, Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan pada awal musim untuk merangkul satu kejuaraan gagal dikecapi, kerana itulah saya perlu mengundurkan diri.

"Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan. Kalau boleh saya mahu undur diri sebelum perlawanan terakhir kerana masih ada tempoh sebulan sebelum masa itu tiba," jelasnya.

Sementara itu, pengumuman tersebut nyata mengejutkan barisan pemain The Fighters, terutama kapten pasukan, Shukor Adan.

"Pengorbanan beliau untuk pasukan sangat besar, kami sebagai pemain sangat menghormatinya dan kami nyata terkejut dengan keputusan ini," jelasnya.

Turut terkejut di atas keputusan pengendali berusia 65 tahun itu ialah pemain tengah Felda United, Syahid Zaidon dan Ahmad Syamim Yahya.

"Memang perasaan sedih menyelubungi kami semua, kerana kami sudah lama bersama. Saya tidak tahu nak cakap apa, tetapi pemain semua memang sedih dengan perkara ini," jelas Syahid.

"Dia antara invidiu yang banyak membantu saya, mengajar saya. Keputusan undur diri itu datang dari beliau, jadi saya tiada apa lagi yang perlu diperkatakan," ujar Syamim.