Presiden Felda United, Anuar Malek, mengakui pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu menyekat sepenuhnya geran tahunan mereka selepas kelab itu dihimpit dengan kemelut tunggakan gaji pemain.

FAM mengarahkan Felda untuk menyelesaikan hutang gaji kepada enam pemain dalam tempoh 30 hari dengan jumlahnya hampir mencecah RM1.5 juta.

Jumlah itu adalah separuh daripada geran tahunan yang akan diterima setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan akan dijadikan cagaran jika mereka ingkar dalam menurut perintah berkenaan.

"Ia tidak menjadi masalah bagi kami. Kalau digunakan sepenuhnya pun tiada apa-apa. Kami akan umumkan bersama FAM sendiri.

"Kami telah aturkan pertemuan dengan FAM dan seterusnya kami akan bersama dalam sidang media bagi menyatakan segala perkara yang berlaku untuk diselesaikan. Setakat ini, saya rasa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan secara kerjasama," kata Anuar.

Ketetapan itu dibuat Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat pada 1 Februari lalu membabitkan bekas kapten The Fighters, Shukor Adan, yang bakal menerima bayaran tertinggi.

Selain Shukor, Felda juga perlu melangsaikan hutang kepada empat lagi bekas pemain, iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Ahmad Syamim Yahya, Farizal Harun, Azreen Zulkafli serta tonggak pasukan itu musim ini, Hadin Azman.