Jurulatih Felda United, Azmi Mohamed, mengakui skuadnya itu perlu memperbaiki kelemahan, terutama di bahagian serangan, walaupun meraih kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Dalam kegembiraan mengutip tiga mata hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha, Azmi tetap tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila banyak peluang terhidang tidak dimanfaatkan.

Justeru, pengendali berusia 50 tahun itu berharap masalah berkenaan dapat diatasi segera sebelum perlawanan kedua menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, 27 Januari ini.

"Perkara paling penting, kami berjaya menghasilkan banyak peluang. (Bagaimanapun) pemain-pemain harus memperbaiki kelemahan untuk menyudahkan gol.

"Saya akan mengekalkan sistem ini untuk mencari keserasian antara pemain bagi menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Di dalam kem PKNS pula, jurualtih E. Elavarasan, akur dengan kekalahan itu dan menganggap pemainnya masih belum menunjukkan keserasian di atas padang.

"Pemain-pemain import kami masih gagal menghasilkan permainan yang lancar. Terdapat beberapa kekurangan yang harus dinilai dan diperbaiki dalam sesi latihan," katanya.

Elavarasan berkata demikian selepas menyaksikan barisan penyerang importnya yang ditunjangi Patrick Ronaldinho Wleh dan Matias Hadwa bergelut untuk memecahkan kubu Felda yang dikawal pemain veteran, Shukor Adan.