Kapten Felda United, Shukor Adan, berikar untuk merantai pergerakan watak utama Kedah, Liridon Krasniqi, daripada menggerakkan sebarang usaha untuk membolosi gawang The Fighters dalam pertemuan di Stadium Tun Abdul Razak, malam ini.

Shukor tidak rela dimalukan di laman sendiri, sekaligus menjadikan perancangan utama di bahagian pertahanan mereka adalah dengan mengawasi pergerakan Krasniqi yang dianggap berbahaya.

"Liridon merupakan kunci utama Kedah selepas menampilkan aksi baik ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sarawak," ujarnya.

Tegas Shukor, Lang Merah memiliki kualiti pemain terbaik setakat ini, namun itu bukan bermakna Felda akan mudah menyerah dengan kelebihan semasa Kedah.

Kelincahan Krasniqi setiap kali berhadapan dengan peluang terhidang sering kali menjadi penyelamat Kedah tetapi Shukor bertekad ia tidak akan berlaku di Jengka.

Sudah pasti, tiga mata di laman sendiri mahu dipertahankan Shukor dan rakan-rakannya.

Tambah tonggak berpengalaman itu, sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab di atas padang wajib membuktikan pilihan Azmi Mohamad pada malam ini adalah tepat.

"Selepas memenangi Piala Sumbangsih, motivasi Kedah amat baik sekali untuk musim 2017 ini.

"Selepas tewas kepada JDT baru-baru ini, rakan sepasukan saya telah menanam azam untuk memperoleh kemenangan di Stadium Tun Abdul Razak."