Selepas Thiago Augusto Fernandes, Felda United mendapatkan seorang lagi pemain import, Dino Djulbic, dari Australia bagi memperkukuhkan benteng akhir The Fighters dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Perkara itu disahkan pengendalinya, B. Sathianathan.

Djulbic menggantikan pemain pertahanan, Mootaz Jounaidi, dari Lubnan untuk menyertai Thiago Augusto sebagai import baru Felda pada pertengahan musim ini.

Diuji dalam aksi persahabatan menentang skuad B-22 negara malam tadi, Sathianathan mengharapkan kehadiran bekas pertahanan Perth Glory berusia 34 tahun itu mampu mengimbangi kekuatan pasukannya.

"Kami sudah mendapatkan pemain import yang dikehendaki dan saya berharap kami tidak lagi kerap dibolosi sepertimana dalam perlawanan awal saya di sini.

"Saya harap kami dapat memperbaiki aspek itu," katanya.

Perlawanan itu turut menyaksikan kemunculan semula Thiago di Malaysia.

Kembali menyertai Felda selepas berpisah dengan Kedah, hujung tahun lalu, penyerang dari Brazil itu mencetuskan sensasi menerusi jaringan sulungnya.

"Thiago sudah masak dengan pemain-pemain di sini dan tahu senario bola sepak negara kita.

"Sebelum ini, banyak perlawanan yang kami kuasai tetapi gagal menghasilkan jaringan.

"Dengan adanya Thiago dan seorang lagi penyerang import, saya harap mereka boleh menyelesaikan masalah ini."

Skuad Felda dijangka melengkapkan pemain import ketiga dalam masa terdekat bagi menggantikan Luca Cano dari Argentina.