"Felda United bukan pasukan lemah."

Demikian tanggapan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang akan menghadapi pasukan itu dalam aksi pembukaan Liga Super mereka, Ahad ini.


Sebagai bekas ketua jurulatih skuad The Fighters itu, Sathianathan yakin pasukan berkenaan masih memiliki barisan pemain yang mampu memberikan cabaran.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga berharap peminat setia Selangor dapat memberikan sokongan padu mereka dalam aksi pertama skuad Gergasi Merah itu musim ini.

Sathianathan sedang melakukan persiapan akhir untuk memastikan anak buahnya membentuk keserasian mantap dengan mengadakan kem motivasi di Sepang semalam.

"Jangan kita fikir masalah yang menimpa Felda United akan menjadikan mereka pasukan yang lemah.

"Saya tahu mereka masih memiliki ramai pemain-pemain yang berkaliber dan ketua jurulatih mereka, Nidzam Jamil, mempunyai kemampuan untuk memulihkan pasukan itu.

"Tiada istilah pasukan mudah dalam Liga Super musim ini.

"Semua pasukan sudah menjalankan persiapan dengan baik," katanya.

Sementara itu, tonggak baru Selangor, Nurridzuan Abu Hassan, sedia menggalas tugas yang ditinggalkan Wan Zack Haikal Wan Noor selepas pemain sayap itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Bekas pemain Perak dan PKNS itu dijangka mengisi posisi sayap kiri Selangor dalam perlawanan pertama mereka.

"Saya perlu memanfaatkan peluang yang diberikan.

"Saya kurang mendapat peluang untuk beraksi sepanjang dua tahun ini.

"Jika saya diberikan peluang itu, saya akan menggalasnya dengan sebaik mungkin untuk membantu kejayaan pasukan," katanya.