Felda United terus memperkukuhkan reputasi mereka musim ini selepas menumbangkan Felcra FC 5-2 dengan penuh bergaya dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

"Saya sangat gembira dengan pasukan saya.

"Ketika lawan membawa keputusan 3-1, kami membuatkannya 3-2 dan kami kemudian mendapat satu, dua peluang untuk menyamakan kedudukan.

"Kami harus menyerang mereka kerana kami tiada pilihan.

"Ini adalah perlawanan kalah mati dan kami perlu mengambil risiko. Kami juga membayar harga terhadap risiko itu," kata jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese.

Felda mengambil sedikit risiko pada saat-saat akhir apabila menurunkan penjaring terbanyak, Gilberto Fortunato, yang difahamkan mengalami kecederaan ringan.

Felcra bermula garang apabila pemain tengah, Enrick Dos Santos Paratta, licik melepasi kawalan pertahanan Felda sebelum mudah menewaskan Farizal Harun pada minit ke-23.

Bagaimanapun, sebelum babak pertama berakhir, The Fighters mendapat sepakan penalti apabila Thiago Augusto dijatuhkan oleh Fazliata Taib dan sudah disudahkan sendiri oleh Augusto untuk mengikat kedudukan.

Augusto meletakkan Felda pertama kali di depan pada minit ke-64 apabila menanduk kemas umpanan Fortunato sebelum ketua pasukan, Shukor Adan, memastikan Felda mendahului 3-1, tujuh minit kemudian.

Tuan rumah masih enggan mengalah selepas merapatkan jurang melalui tandukan Anselmo Arruda Da Silva (m-75) menerusi gerakan menarik Rasyid Aya.

Begitupun, pemain gantian, Hadin Azman, membunuh semangat juang Felcra menerusi jaringan keempat (m-84) dalam situasi serangan balas sebelum Fortunato tidak ketinggalan berada dalam senarai penjaring -- gol peribadi ketujuhnya musim ini -- dengan menyempurnakan penalti pada masa kecederaan.

Sementara itu, jurulatih Felda, B. Sathianathan, berkata: "Walaupun ketinggalan, kami bangkit semula dan akhirnya kami menyumbat lima gol.

"Saya sudah beritahu pemain, memang sukar bermain dengan Felcra.

"Kalau mereka bermain di kawasan sendiri dan melakukan serangan balas, mereka mempunyai pemain yang sesuai untuk corak itu, terutama importnya."