Felcra FC memberikan peluang kepada bekas pemain Olimpik tahun 2000, Rosle Mohamad Derus, untuk membawa pasukan itu memburu slot ke Liga Perdana 2018 selepas mengambil
keputusan untuk melepaskan Yusri Che Lah.


Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, yang menjelaskan keputusan itu diambil selepas pencapaian pasukan yang kurang memberangsangkan di awal saingan Liga FAM.

Rosle sebelum ini merupakan penolong jurulatih, namun mula memikul tugasan selaku pemangku jurulatih dalam perlawanan keenam pasukan.

Semenjak di bawah kendalian Rosle, Felcra kini perlahan-lahan mula mendaki carta Kumpulan A Liga FAM dan hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerana meletakkan kepercayaan kepada saya, saya mengganggap ini sebagai batu loncatan dan cuba terus memberikan yang terbaik buat pasukan," kata Rosle.

Dalam masa sama, Felcra turut melantik bekas jurulatih penjaga gol skuad bawah 22 tahun, Megat Amir Faisal sebagai jurulatih penjaga gol pasukan menggantikan Azmin Azram Abdul Aziz yang kini bersama skuad negara.

"Saya akan menurunkan ilmu saya ketika bersama skuad Sukan SEA kepada Felcra," kata Megat.