Kuala Lumpur terus hampa apabila tewas kepada Felcra FC 4-3 dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Cheras, malam tadi.

Felcra meraih tiga mata apabila menang ke atas Kuala Lumpur, namun masih belum cukup untuk memintas kedudukan tangga kedua Kumpulan A milik Perak yang merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu.

Pada babak pertama permainan, tuan rumah tersentak lebih awal dengan jaringan pembukaan Felcra hasil sentuhan Abdul Azim Rahim pada minit ke-20 sebelum dia menambah lagi jaringan pada minit ke-43.

Namun, kelekaan Felcra memberi ruang kepada The City Boys untuk bangkit merapatkan jurang menerusi pemain import, Guilherme De Paula, pada minit ke-60.

Lapan minit berselang, pasukan pelawat terus melancarkan asakan untuk menambah gol ketiga menerusi percubaan Nazrul Kamaruzzaman.

Tetapi Kuala Lumpur mengikat kedudukan apabila pemain Felcra, Che Arif Che Kamaruddin, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-74 untuk menjadikan kedudukan 3-3.

Keceriaan itu tidak kekal lama selepas Felcra kembali di depan menerusi jaringan David Laly seminit selepas itu dan tidak membenarkan lagi sebarang kebangkitan tuan rumah.

"Anak buah saya bermain dengan baik, mereka mencipta banyak peluang.

"Cuma, kami banyak membuat kesilapan di bahagian pertahanan," kata pemangku jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, sejurus permainan berakhir.

Ketua jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese, tetap berbangga dengan usaha anak buahnya yang turun dengan skuad tempang.

"Kami bermain dengan bagus dan mantap untuk menentang sebuah pasukan divisyen satu.

"Sejak kempen Piala Malaysia bermula, saya kehilangan beberapa tonggak utama dan hari ini ada segelintir lagi yang tidak dapat diturunkan.

"Bagaimanapun, kami mempunyai kumpulan pemain yang bagus dan malam ini (tadi) mereka telah memberikan usaha 100 peratus."