Olympique Lyon mengumumkan pemain tengah, Nabil Fekir, sebagai ketua pasukan yang baru selepas pemegang lilitan kapten sebelum ini, Maxime Gonalons, serta pembantunya, Alexandre Lacazette, meninggalkan pasukan.

Lacazette berhijrah ke Arsenal untuk memulakan cabaran baru sementara Gonalons memilih untuk membawa haluan ke Serie A bersama AS Roma.

Fekir menampilkan aksi yang konsisten pada musim lalu selepas membantu skuad kendalian Brumo Genesio itu meraih tempat keempat liga serta melangkah ke separuh akhir Liga Europa.

Lyon bakal memulakan saingan 2017/18 menentang Strasbourg dan Genesio percaya Fekir mampu berkembang dan membalas kepercayaan yang diberikan.

“Saya berharap dia akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada seluruh pasukan.

“Dia perlu mengambil-alih dan selepas enam minggu pra-musim, saya berpuas hati dengan prestasinya,” kata Genesio.

Bagi pemain berusia 24 tahun itu, dia berbesar hati apabila diberikan penghargaan sebegitu.

“Ia satu kebanggaan dan penghargaan buat saya. Semua staf mempercayai saya dan kini segala-galanya terpulang kepada saya untuk melakukannya dengan yakin,” ujar Fekir.