Selangor FC II kembali memungut mata penuh apabila menjadikan skuad Projek FAM-MSN sebagai mangsa kebangkitan dalam Liga Perdana.

Selepas tunduk 1-2 kepada Negeri Sembilan FC Selasa lalu, barisan bimbingan Michael Feichtenbeiner itu melakar kemenangan 4-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang tadi, sekali gus menyaksikan skuad remaja tersebut terus kempunan mata.

Selangor hanya perlu menunggu hingga minit ke-16 untuk gol pembukaan daripada Saiful Iskandar Adha sebelum George Attram menjadikan kedudukan 2-0 menuju rehat.

Attram kemudian sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila mengambil kesempatan dalam kekalutan di kawasan penalti.

Skuad Projek FAM-MSN itu cuba merapatkan jurang hasil pada minit ke-70 daripada sepakan penjuru yang ditanduk Muhd Ismat Imran disusuli gol Azhar Harraz untuk kedudukan 3-2 pada masa kecederaan.

Namun, Attram ternyata menjadi duri dalam daging pelawat untuk melengkapkan hatriknya bagi memuktamadkan kemenangan 4-2.

What a performance, lads! Take a bow. ?? #KitaAdalahSatu #85Years #CreatingALegacy #LigaPremier2021

Posted by Selangor FC on Friday, March 12, 2021


Feichtenbeiner cukup puas dengan kejayaan itu kerana menganggap mereka sedang meniti di jalan yang betul dalam terus memperkasakan pelapis Gergasi Merah.

"Pemain muda kami menunjukkan persembahan yang hebat.

"Selepas tiga minggu melalui pra-musim, bagi saya tahap permainan seperti ini sudah bagus," katanya.

Sementara itu, pengendali pasukan Projek FAM-FAM, Yusri Che Lah, perlu mengimbangi keperluan pendedahan kepada pemain mudanya.

"Saya perlu berikan minit permainan kepada semua pemain dengan merehatkan tonggak utama hari ini.

"Mungkin pemain yang diberikan petang ini gagal mengadaptasi permainan Selangor FC II.

"Lagi satu mereka mempunyai pemain import, ia satu perbezaan yang amat ketara dalam perlawanan ini," katanya.