Pengendali Nice, Lucien Favre, memberi bayangan Mario Balotelli akan kembali beraksi berdepan Krasnodar dalam Liga Europa pada Khamis.

Pemain antarabangsa Itali itu -- yang telah meledak empat gol dalam tiga perlawanan sejak berhijrah ke Allianz Riviera -- hanya menyaksikan pasukannya melakar kemenangan 1-0 ke atas Nancy di bangku simpanan susulan mengalami kecederaan.

Namun, Favre enggan menafikan bekas pemain Liverpool itu akan bertandang ke Russia dalam misi meraih kemenangan pertama di Eropah selepas tewas 1-0 kepada Schalke dalam saingan Kumpulan I.

"Mario mengalami masalah di bahagian paha," kata Favre kepada pemberita. "Saya enggan mengambil risiko itu ketika berdepan Nancy.

"Kami perlu lihat bagaimana keadaannya menjelang pertemuan pada Khamis."

Nice akan bertandang ke Krasnodar selepas melakar kemenangan kelima dalam Ligue 1, sekali gus meletakkan pasukan itu kembali ke persada liga dan Favre mengakui teruja dengan senario ketika ini.

"17 mata selepas tujuh perlawanan sangat mengujakan," katanya.

"Kami semua sedang gembira. Ini permulaan terbaik kami musim ini, jadi kami sedang menikmati saat ini.

"Perjalanan kami masih jauh, tetapi kami akan terus kekal bersatu."