Pengendali Borussia Dortmund, Lucien Favre, berharap kecederaan yang melanda Marco Reus tidak serius selepas penggempur itu dikeluarkan ketika pasukannya tersingkir daripada saingan Piala Jerman awal pagi tadi.

Reus terpaksa dikeluarkan selepas rehat sebelum Dortmund tewas 4-2 susulan permainan waktu sebenar terikat 3-3 ketika berdepan Werder Bremen di laman sendiri.

Pendahulu Bundesliga itu akan berdepan Hoffenheim, Sabtu ini, sebelum menentang Tottenham Hotspur dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Favre berharap Reus dapat segera kembali bersama pasukan tatkala penyerang itu telah menyumbat 17 gol dalam 27 perlawanan buat Dortmund musim ini.

Ditanya sama ada pemain berusia 29 tahun itu akan beraksi menentang Hoffenheim, Favre memberitahu sidang media: "Kami harap begitulah tetapi masih belum tahu.

"Saya tidak boleh menjawab persoalan itu. Kami perlu menunggu beberapa hari dan melihat keadaannya semula.

"Terlalu awal untuk kami mengesahkan sebarang perkara, jadi kami perlu menunggu. Kami berharap ia tidak serius."