Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyokong sepenuhnya keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggantung seumur hidup mana-mana pemain dan pegawai yang terlibat dalam skandal rasuah dan menjual perlawanan.

Presidennya, Datuk Mohd Posa Majais, berkata tindakan itu selaras dengan kesungguhan serta komiten FAS dalam mengekang serta melenyapkan terus segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang mungkin ada dalam organisasi tersebut.

"Kerana itu, kami menjayakan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini.

"Kami berharap dengan adanya jalinan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini, kami akan dapat memastikan tidak akan berlaku sebarang bentuk rasuah, mengatur perlawanan dan salah guna kuasa, khususnya di negeri Sarawak," katanya pada Majlis IBR di Kuching.

FAS merupakan organisasi ke-11 yang melaksanakan IBR di Sarawak dan pasukan bola sepak negeri keenam di Malaysia, dengan yang terakhir adalah Persatuan Bolasepak Kedah.

Hadir menyaksikan Majlis IBR itu ialah Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman.

Menjelas lanjut, Posa berkata, dengan indikator ikrar ini, FAS berharap dapat melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berprestasi tinggi, berkualiti dan berintegriti.

"Kami juga berharap inisiatif yang diambil pada hari ini akan dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat dan peminat terhadap sukan bola sepak tanah air," katanya lagi.

Dalam majlis itu, semua pemain Liga Super Sarawak telah menandatangani ikrar bebas rasuah.

Ia dijangka diikuti oleh skuad Piala Presiden, pasukan belia dan pemain Liga FAM, Kuching FA.

Turut mengangkat sumpah, ketua jurulatih David Usop dan Pengarah Kejurulatihan, Abdul Wahed Uji.