Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akhirnya mengesahkan usaha sama penggabungan FAS-PKNS bermula tahun depan tetapi ia atas dasar kepentingan bajet kerajaan negeri, bukan atas kepentingan satu pihak semata-mata.

Beberapa bulan lalu, bertebaran khabar angin yang menuduh FAS kononnya mahu mengaut peruntukan tahunan lebih besar dengan cara membuat penggabungan di antara FAS-PKNS musim depan.

Ia dinafikan sekeras-kerasnya Naib Presiden FAS, Izhar Moslim, yang menegaskan usaha sama itu bagi mengurangkan peruntukan tahunan kerajaan negeri yang menelan belanja besar untuk dua pasukan saban tahun.

"Memang sudah lama perancangan menggabungkan FAS dan PKNS atas aspek penjimatan kewangan. Kerajaan negeri setiap tahun mengeluarkan belanja yang besar untuk bola sepak," kata Izhar.

Namun, ia menjadi persoalan, apabila kedua-dua pasukan itu turut melibatkan dua jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan dan Datuk K. Rajagobal, apakah status mereka musim depan?

"Kami meletakkan tumpuan kepada penggabungan FAS-PKNS terlebih dahulu daripada memikirkan perkara selanjutnya."

Difahamkan beberapa pemain berpengalaman daripada PKNS sudah mula mencari pasukan lain untuk saingan musim depan, namun Izhar menganggap ia adalah tindakan normal untuk mana-mana pemain sebaik tamat saingan musim.