Belum sempat berbulan madu, penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, bertekad untuk mencari hadiah perkahwinan terbaik dengan mencipta kemenangan ke atas Kelantan United FC (KUFC) dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Katanya, biarpun baru melangsungkan perkahwinan, dia bertekad untuk membantu TRW memburu kemenangan pertama selepas akur aksi kedua menentang UKM FC, Jumaat lalu ditangguhkan akibat cuaca buruk.

"Biarpun semua pemain kecewa aksi di Selayang terpaksa ditangguhkan, namun kami kembali bersemangat untuk mencari kemenangan pertama musim ini selepas seri dengan Kuala Lumpur, bulan lalu.

"Saya ingin mencari hadiah perkahwinan terbaik dengan memastikan gawang tidak bocor dan TRW muncul sebagai pemenang dalam aksi yang dijangka sengit malam ini," ujarnya.

Faridzuean, yang juga bekas penjaga gol Melaka United (MU) dan Kuala Lumpur, berharap benteng pertahanan dapat mengawasi kelicikan awang import KUFC, Gassama Alfussainey, dan penjaring terbanyak Liga M3 musim lalu, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.

"Alfussainey dan Fakhrul Zaman cukup berbahaya jika dibiarkan bebas tanpa kawalan ketat barisan pertahanan. Mereka telah buktikannya semasa mengalahkan Perak II dan Kuching FA baru-baru ini.

"Selain itu, kelibat pemain import, Adil Kouskous, patut diperhatikan kerana dia mampu mengawal bahagian tengah dengan baik untuk mengecewakan kami di gelanggang sendiri," katanya.

Faridzuean juga merayu sokongan penuh penyokong setia TRW untuk membanjiri stadium itu demi bersama-sama meniupkan semangat pemain.

"Sokongan padu pemain ke-12 amat ditagih dan kami berjanji akan memberikan yang terbaik untuk mencipta kejutan ke atas KUFC," katanya.