Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memohon persatuan bola sepak negeri dan kelab mengutamakan kepentingan negara dengan memberikan kerjasama dalam soal pelepasan pemain demi persiapan untuk Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan terdapat keperluan bagi pihak jurulatih, Frank Bernhardt, untuk mengumpul pemain lebih awal, sekurang-kurangnya beberapa bulan sebelum bermulanya temasya sukan itu.

Tanpa menafikan ada segelintir persatuan bola sepak negeri bersikap dingin dalam soal terbabit, FAM akan cuba mencipta formula terbaik yang boleh diterima semua pihak.

Beliau berharap keputusan yang akan diumumkan dalam sidang media Jumaat ini mengenai perancangan skuad Sukan SEA mampu dituruti tanpa sebarang halangan.

"Bermula Mei ini, kami akan mengadakan sesi latihan pusat yang akan dijalankan sepenuh masa.

"Kami juga telah mendapat persetujuan daripada sebahagian besar pasukan tetapi ada beberapa pasukan yang nampaknya tidak membenarkan atau tidak melepaskan pemain mereka.

"Perkara ini saya sudah bincangkan dengan jurulatih (Bernhardt) dan ia akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan, Jumaat ini," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamidin memberi jaminan tiada sebarang masalah mengenai kunjungan skuad negara ke Pyongyang bagi bertemu Korea Utara dalam aksi pertama Kumpulan B, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019, 28 Mac ini.

Biarpun Korea Utara mempunyai dasar antarabangsa tertutup tetapi kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang baik.

"Saya telah menghubungi AFC dan saya tahu ada beberapa perlawanan telah berlangsung di sana. Jadi, setakat ini tiada masalah dan kami akan mengikut prosedur biasa untuk pergi ke sana," tambahnya.

Bernhardt kini giat mempersiapkan skuad bawah 22 tahun negara untuk menghadapi Sukan SEA.

Skuad muda negara itu bakal berdepan Vietnam, 7 Februari, di Bandaraya Ho Chi Minh sebelum menyertai Kejohanan Piala Dubai Bawah 22, dari 20-28 Mac nanti.

Kejohanan Piala Dubai disertai lima negara, iaitu Jordan, Arab Saudi, Thailand, Korea Utara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).