Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak mengubah sasaran dalam peta hala tuju F:30 apabila jurulatih baru skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, tidak diletakkan sebarang Indeks Prestasi Utama (KPI) walaupun diberikan kontrak panjang.

Perkara itu dinyatakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, ketika Piala Asia 2023 sepatutnya menjadi misi cemerlang skuad kebangsaan dalam peta tersebut.

Jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, telah diamanahkan untuk mengetuai pasukan bola sepak kebangsaan.

Pelantikan pakar taktikal berusia 52 tahun itu, yang menghabiskan sebahagian besar karier kejurulatihannya menguruskan pasukan Hong Kong, disahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin, sebentar tadi.

Kim menandatangani kontrak dua tahun serta tambahan lagi dua tahun untuk memimpin skuad kebangsaan diperkuatkan dengan empat jurulatih baru namun persoalan mula timbul apabila tiada KPI yang khusus diletakkan kepada pengendali dari Korea Selatan itu.

"Kita harus memberikan masa kepadanya, kita harus memberikan peluang. Semestinya kami mahu layak ke Piala Asia dan kami akan membincangkan perancangan bagi tempoh dua tahun ini terlebih dahulu," kata Hamidin.

"Kami telah membuat penilaian yang menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan. Namun berdasarkan penilaian, dia memiliki kualiti terbaik dan bersedia untuk mengendali skuad kebangsaan."