Satu ketika kita seakan akan terlalu bergantung dengan penampilan pemain naturalisasi namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengambil keputusan menangguh projek naturalisasi untuk skuad kebangsaan.

Menjadi persoalan adakah prestasi lemau dua naturalisasi baru negara, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula dalam saingan kelayakan Piala Asia baru baru ini membuka mata FAM untuk bersikap lebih memilih selepas ini.

Penangguhan itu dibuat ketika, laporan penuh melibatkan keperluan pemain naturalisasi yang baru perlu diteliti tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Naturalisasi dan Jawatankuasa Pengurusan pasukan kebangsaan.

Justeru tiada sebarang penambahan pemain naturalisasi sehingga tamat kelayakan Piala Asia 2023.

"Kami menangguh sementara program tersebut sehingga tamat kelayakan Piala Asia 2023," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Penambahan naturalisasi untuk aksi kelayakan seterusnya mungkin berlaku hanya jika perlu sahaja.

FAM nampaknya lebih terperinci dalam memilih pemain luar untuk menjadi pemangkin skuad kebangsaan, bagi mengelak situasi sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

"Dua pemain yang dibawa masuk tidak akan dapat membawa Malaysia ke Piala Asia mahupun Piala Dunia. Ia adalah ruang yang diberikan kepada pasukan kebangsaan bagi meningkatkan lagi mutu permainan tetapi jika mereka diletakkan sebagai sandaran membawa Malaysia menyertai saingan di peringkat tertinggi, itu satu perkara yang tidak mungkin berlaku."