Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia dengan penundaan Piala Suzuki AFF ke tahun hadapan apabila Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, mengesahkan badan induk itu sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, hasil daripada Mesyuarat Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang diadakan semalam.

Jawatankuasa Kecemasan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) mencadangkan saingan Piala AFF tahun ini ditunda ke tahun depan.

Media Vietnam, VN Express melaporkan menerusi mesyuarat secara dalam talian yang dipengerusikan Presiden AFF, Khiev Sameth, bersama Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan, dan ahli jawatankuasa membincangkan sama ada Piala AFF 2020 dapat diteruskan seperti biasa susulan penularan COVID-19.

"Secara tidak rasmi, boleh saya katakan saingan Piala AFF akan ditunda sehingga tahun hadapan. Saya berasakan keputusan yang bakal diambil merupakan impak daripada kepadatan saingan Liga Juara-Juara (ACL) serta saingan liga tempatan sekaligus tidak bersesuaian untuk menganjurkan saingan Piala AFF ketika ini," kata Stuart.

Mengenai pandangan daripada pihak FAM, Stuart menjelaskan, "Kami tiada tentangan untuk dipinda. Saya berasakan keputusan yang diambil oleh pihak AFF tidak wujud unsur berat sebelah dalam perkara yang bakal dilaksanakan."

Berbicara mengenai perkembangan skuad kebangsaan, Stuart berkata lagi, "Ia bagus untuk semua pindaan ini kerana memberikan ruang untuk membuat persiapan menghadapi saingan kelayakan kerana setiap pasukan menghadapi situasi yang sama."