Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak meminggirkan DNA bola sepak negara apabila setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, mengesahkan tiada jurulatih daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tersenarai sebagai calon jurulatih skuad B-19 kebangsaan.

NFDP sebelum ini dicanang sebagai pemangkin bola sepak negara menerusi falsafah atau DNA bola sepak negara secara menyeluruh di setiap peringkat.

Namun, DNA itu dilihat hanya bersifat sementara apabila tiada perancangan untuk ia diteruskan sebaik pemain daripada program itu bergelar graduan pada usia 18 tahun.

Buktinya, FAM sah tidak akan merekrut mana-mana jurulatih NFDP untuk mengendalikan skuad B-19 negara, sebaliknya memilih jurulatih lain untuk mengemudi pasukan berkenaan.

"Senarai pendek yang kami ada melibatkan jurulatih yang berpengalaman dalam mengendalikan skuad kebangsaan dan belia.

"Bukan mudah untuk mengambil (mengendalikan) satu pasukan kebangsaan tanpa pengalaman.

"Kami juga mahu memastikan peralihan daripada Bojan (Hodak) kepada jurulatih baru menjadi peralihan yang sempurna dan lancar," kata Stuart.

Perkara itu mungkin perlu diteliti semula kerana terdapat kewajaran untuk graduan NFDP kekal di bawah bimbingan jurulatih yang sama untuk mereka bergerak seiring ke kemuncak karier.

Ia juga diamalkan kuasa-kuasa besar bola sepak Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam menerusi pendekatan dari bawah ke atas dalam sistem piramid bola sepak negara masing-masing.

"Memang kami tidak melihat kepada jurulatih yang membawa falsafah tersendiri dengan corak permainan tersendiri di mana ia tidak memupuk sistem pembangunan bola sepak yang akan menyokong skuad B-23 dan senior.

"Saya rasa pembangunan dalam pasukan B-16 dan B-19 adalah asas kepada kedudukan pasukan kebangsaan pada masa akan datang," tambahnya.

Ketika ini, hanya penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, dicanang untuk menggantikan tempat Hodak yang tidak dilanjutkan kontrak untuk mengendalikan skuad B-19 negara.