Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menghormati keputusan pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa, menarik diri daripada bertanding jawatan presiden badan induk itu, 14 Julai ini.

Selepas tamat tempoh pencalonan 14 Jun lalu, Hamidin dan Annuar menjadi dua calon merebut jawatan presiden FAM.

Ia susulan kekosongan yang ditinggalkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Begitupun, Annuar membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertandingan bagi memberi tumpuan kepada karier politik, sekali gus menyaksikan Hamidin menang tanpa bertanding.

Hamidin, yang ditemui hari ini selepas pulang daripada lawatan kerja ke Piala Dunia 2018 di Russia, menerima keputusan yang dibuat oleh Annuar tetapi menjelaskan masih terlalu awal untuk membicarakan tentang visi dan misinya dalam memimpin FAM.

"Mereka ada hak sama ada untuk bertanding, menarik diri atau terus bertanding.

"Annuar telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan presiden FAM pada 14 Julai, kita perlu menghormati pendiriannya.

"Saya tidak suka berjanji, kita tengok selepas 14 Julai nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk bola sepak negara," katanya.

Hamidin turut mendedahkan seramai 12 calon telah menyatakan minat untuk kedudukan setiausaha agung FAM.

Dalam pada itu, pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menjelaskan pihaknya masih belum menerima surat rasmi daripada Annuar mengenai hasratnya untuk tidak bertanding.

"Kami masih menunggu surat penarikan diri Annuar.. Kami hanya menerima (maklumat ini) melalui Facebook peribadinya dan media.

"FAM masih memerlukan surat rasmi bagi memastikan tiada pertandingan dalam Kongres FAM nanti," kata Yusoff.