Insiden menolak pengadil melibatkan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, akan dibincangkan Khamis ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa proses afidavit melibatkan pemain itu adalah yang paling pendek jika dibandingkan dengan empat insiden terdahulu, yang telah ditetapkan hukumannya Rabu lalu.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa isu melibatkan Natxo itu tidak dibincangkan dalam persidangan pertama Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini.

Badan induk itu menegaskan sebarang aduan perlu melewati proses pembelaan diri dan afidavit kedua-dua pihak di mana ia mengambil sedikit masa.

Adalah mustahil untuk insiden Natxo itu dibincangkan dalam persidangan pertama Rabu lalu memandangkan ia berlaku tiga hari sebelumnya.

Dalam pelancaran Liga Suparimau di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata: "Ia bukan proses untuk melengahkan atau mempercepatkan tetapi ia proses di mana setiap pemain, pegawai dan pasukan mempunyai hak untuk membela diri.

"Di sini, tuntutan atau sesuatu keputusan tidak boleh dikeluarkan semata-mata untuk mengambil keputusan.

"Kes Natxo adalah kes yang paling pantas berbanding empat kes sebelum ini yang mengambil masa selama 18 hari, 16 hari, 13 hari dan 13 hari.

"Jadi, untuk makluman media dan peminat bola sepak negara, proses perundangan dan tatatertib adalah proses di mana setiap orang mempunyai hak masing-masing untuk didengar, afidavit untuk diserahkan dan pembelaan diri untuk dikemukakan kepada FAM," katanya.