Kemampuan penyerang remaja kacukan England-Malaysia, Jaami Qureshi, akan dinilai terlebih dahulu sebelum boleh menyertai skuad B-19 kebangsaan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Ia selepas nama pemain itu tiada dalam senarai yang dipanggil untuk menyertasi sesi latihan pusat pertama bermula esok.

Tiada jalan mudah buat pemain skuad remaja Brighton and Hove Albion itu biarpun kelabnya sudah memberikan lampu hijau untuk dia menyertai skuad kebangsaan Malaysia.

Stuart tidak menolak nama Qureshi akan disenaraikan pada penghujung kem fasa pertama itu atau setidak-tidaknya pada awal latihan fasa kedua.

"Dia akan diberikan peluang untuk menunjukkan bakatnya bersama pasukan kebangsaan sebelum apa-apa keputusan dibuat," kata Stuart kepada Nadi Arena.

"Saya pasti ketua jurulatih, Brad Maloney, sudah menerima video mengenai prestasi Jaami baru-baru ini.

"Dan ia tepulang kepada Brad untuk menentukan kesediaan Jaami berdasarkan video itu atau mengadakan ujian di sini dalam masa terdekat," katanya.

Ketika ini, FAM sedang mengadakan perbincangan dengan Brighton, yang bersaing dalam Liga Perdana Inggeris, memandangkan Qureshi memerlukan pelepasan jangka panjang sekiranya mahu bersama skuad B-19 negara menjelang Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

"Ia memerlukan pemahaman mengenai tarikh-tarikh tertentu, terutama pada ketika dia perlu bersama skuad kebangsaan bagi kem latihan dan persiapan sebelum menghadapi kejohanan.

"Kami mahu memastikan kelabnya benar-benar faham keperluan untuk Jaami bersama kami bagi tempoh yang agak panjang sebelum menghadapi kejohanan," tambahnya.