Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah berjumpa dengan wakil daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai langkah pertama dalam membawa isu kekecohan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ia berikutan insiden tindakan kurang sopan penyokong tuan rumah yang membaling batu dan melakukan kekecohan dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Indonesia dan Malaysia sehingga menyebabkan tiga penyokong Malaysia cedera.

Harimau Malaya yang dua kali bangkit untuk menewaskan skuad Garuda itu 3-2 dalam perlawanan berkenaan, terpaksa pulang ke hotel penginapan menaiki kereta perisai Barracuda angkara penyokong yang tidak puas hati dengan keputusan itu.

FAM, yang diwakili setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, dan Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin, telah bertemu wakil AFC di ibu pejabat badan pentadbir bola sepak Asia itu di AFC House, Bukit Jalil, semalam.

Menurut catatan di Facebook FAM, pihak AFC juga telah mengesahkan bahawa laporan oleh Pegawai Komisioner Perlawanan FIFA dan Pegawai Keselamatan FIFA dalam perlawanan tersebut telah dihantar ke FIFA untuk penilaian dan tindakan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium AFC, Brian Johnson, Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadium, Shahin Rahmani, dan Pengurus Acara Bolasepak Unit Pertandingan dan Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong.

“Seterusnya, FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua di antara Malaysia dan Indonesia di Staidum Nasional, Bukit Jalil, 19 November depan untuk mengelakkan insiden sama berulang,” kata FAM.

Stuart juga bertemu dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, dalam pertemuan berasingan semalam untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden yang berlaku.

Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan meneruskan kempen kelayakan itu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

-- BERNAMA