Aksi panas melibatkan Sarawak United dan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Perdana, 10 September lalu berkesudahan dengan pasukan Borneo berkenaan didenda secara keseluruhan sebanyak RM43,000, termasuk penggantungan.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara dalam talian hari ini.

Hukuman itu melibatkan salah laku tiga pemain dan tiga pegawai Sarawak United, termasuk ketua jurulatih, E. Elavarasan, yang berisiko digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, didapati melakukan dua kesalahan apabila melanggar Artikel 50.1(d) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang menyaksikan dia digantung lima perlawanan serta denda RM7,000.

"Penggantungan lima perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur," kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, dalam satu kenyataan hari ini.

"Dia akan digantung daripada perlawanan Liga Perdana 2021, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) lawan Sarawak United FC pada 21 September ini.

"Baki penggantungan empat lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada empat perlawanan rasmi Liga Malaysia yang berikutnya, sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

"Pemain ini juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu."

Dua rakan sepasukannya, Mohammad Amer Saidin dan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli, turut berdepan tindakan keras dengan masing digantung dua dan empat perlawanan bermula dengan perlawanan menentang JDT II di Larkin, Selasa ini.

Dalam pada itu, Elavarasan di dapati bersalah melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan kepada Media) atas tindakannya yang membuat kenyataan/komen semasa temu ramah selepas perlawanan berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran.

"Kenyataan/komen semasa temu ramah yang dibuat olehnya secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia dalam perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

"Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM, di mana hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

"Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap beliau.

"Pegawai ini juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," tambah kenyataan itu.

Dua lagi pegawai Sarawak United turut menerima hukuman berat, di mana Rudy Bujang digantung enam bulan dan denda RM10,000 manakala Abang Fomay Abang Sa'adeli pula digantung dua perlawanan berserta denda RM10,000.