Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan kolaborasi terbaharu bersama sebuah syarikat teknologi terkemuka di dunia, HP Inc Malaysia.

Kerjasama itu bagi memastikan arena e-sukan bola sepak serta ekosistemnya terus dibangunkan menerusi penggunaan barangan elektronik berkualiti tinggi seperti komputer riba HP Victus dan perkakasan permainan HyperX keluaran HP.

HP Malaysia juga menzahirkan komitmennya sebagai rakan penaja Peralatan Teknologi Maklumat & e-Stor rasmi skuad eRimau FAM bagi kempen FIFA eNations Series 2023 yang dijadualkan bermula Disember ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, melihat kolaborasi bersama syarikat teknologi terkemuka itu sebagai permulaan yang amat baik untuk masa depan e-sukan bola sepak di dalam negara.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh barisan penaja telah banyak membantu kami di FAM untuk terus membangunkan serta menambah baik ekosistem bola sepak di Malaysia.

“Menerusi kolaborasi terbaharu FAM bersama HP Malaysia, kami berpeluang untuk memperluaskan serta menambah baik ekosistem bola sepak negara dengan memasukkan e-sukan bola sepak ke dalam program pembangunan negara.

“Saya harap menerusi kolaborasi ini, FAM dapat melahirkan lebih ramai bakat muda di dalam arena e-sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” ujar Hamidin.

Hamidin turut meluahkan keterujaan untuk melihat skuad eRimau FAM beraksi pada kempen FIFA eNations Series 2023 dengan kehadiran HP Malaysia sebagai penaja.




“Saya yakin dengan HP Malaysia sebagai penaja skuad eRimau, barisan pemain serta jurulatih lebih bersemangat untuk memulakan kejohanan itu nanti,” ujar Hamidin.

Majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan HP Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Presiden FAM; Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Hadir sama Exco FAM, Saaran Nadarajah dan Md Dali Wahid, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dan Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan.

Turut hadir empat pemain skuad eRimau iaitu Ahmad Akmal Abdul Rafil, Faiq Iskandar Saiful Bahri, Muhammad Imran Burhanudeen dan Muhammad Muzzafar Zuhair Mustafa.

Dalam pada itu, Alex berkata HP dan FAM berkongsi visi yang sama untuk meningkatkan kualiti e-sukan di Malaysia.

“Menerusi prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh atlet Malaysia dalam beberapa tahun ini, kami percaya jalinan kerjasama ini adalah tepat demi memburu kegemilangan.

“Jalinan kerjasama ini menandakan komitmen yang tinggi terhadap industri permainan di Malaysia yang semakin berkembang dan kami di HP Malaysia amat teruja untuk memulakan kolaborasi ini dengan melengkapkan skuad eRimau bersama teknologi yang mereka perlukan untuk persiapan FeNOQ22 Play-Ins Asia & Oceania 2023,” katanya.

Kredit: Sinar Harian