Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri dalam soal kedaulatan dan maruah negara selepas isu penghinaan nama negara ketika bertemu Thailand dalam Kejohanan AFF B-16 di Surabaya, kelmarin, , malah sedia melakukan tindakan sewajarnya jika insiden sama berulang.

Buat masa ini, bantahan rasmi telah dihantar kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi memastikan keadilan di pihak negara.

Belum terfikir sehingga ke peringkat untuk menarik diri yang dianggap langkah paling radikal, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan pada masa ini, pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi Brunei, Jumaat ini.

Langkah awal yang dimaksudkan adalah dengan menghantar exco FAM, Mohd. Dali Wahid, bagi memastikan tahap keselamatan pemain negara terjamin sama ada di dalam mahu pun luar padang.

"Proses-proses yang perlu dilakukan FAM daripada segi protokol dan polisi sudah dibuat, termasuk langkah proaktif dengan menghantar pegawai keselamatan.

"Ketika ini, kami akan pantau apa yang akan berlaku sebaik surat (maklum balas daripada AFF dan AFC) diterima dalam sehari dua ini berikutan perlawanan akan berlangsung Jumaat ini," katanya.

Pada masa sama, Stuart mendedahkan selepas ini akan ada satu Prosedur Operasi Standard (SOP) membabitkan pemain negara dan media sosial.

Situasi berkenaan sebagai langkah pencegahan terhadap kesilapan dilakukan Amirul Ashrafiq Hanifah yang memuat naik bendera Indonesia yang terbalik di Instagram peribadinya.

"Kami akan mengadakan taklimat media dan bengkel (kesedaran) untuk pemain muda khususnya.

"Ini kesilapan utama yang dilakukannya dan pemain berkenaan sudahpun memadam entri tersebut dan meminta maaf.

"Isu kecil ini sudah diperbesarkan," katanya.