Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, menyeru semua pihak agar menghapuskan budaya pilih bulu selepas beberapa dakwaan bahawa persaingan di peringkat akar umbi sering terjejas kerana campur tangan orang luar.

Budaya ini boleh memberi impak kegagalan kepada skuad kebangsaan seperti di pentas Piala AFF 2020, justeru menjadi isyarat paling tepat untuk membuka mata semua pihak.

Tegasnya, kegagalan itu bukan hanya terletak kepada FAM semata-mata, malah turut terkait dengan kegagalan ahli gabungan dalam menyediakan pemain terbaik untuk menyarung jersi negara.

"Ini tidak boleh berlaku dalam bola sepak, kita perlu telus, tidak boleh ada campur tangan.

"Saya tidak pernah membawa masuk anak-anak saudara saya untuk terlibat dalam pasukan sendiri, Selangor United.

"Kalau tidak layak maka tetap tidak layak. Kena ada prinsip, barulah ada peningkatan dalam bola sepak kita. Tapi kalau macam ini, minta maaf saya tidak nampak (kemajuan negara)," kata Firdaus.

Malah, Firdaus menuntut jurulatih agar bersikap proaktif dalam menggilap bakat pemain dengan mengadakan latihan yang khusus bagi menyalurkan panduan yang lebih terperinci.

"Pemain zaman dulu buat 'kerja lebih' selepas sesi latihan tapi pemain zaman sekarang tidak.

"Jadi jurulatih perlu buat kerja lebih untuk lonjakkan prestasi pemain. Dia perlu main peranan dan bukan sekadar dalam soal taktikal.

"Kadang-kadang asas permainan pemain kita ke laut, minta maaf cakaplah," katanya lagi.





Di samping itu, selepas dua tahun tanpa saingan, penantian Piala Belia dan Piala Presiden akan berakhir bermula 23 Februari depan.

Maka tidak hairanlah ia disambut dengan tangan terbuka oleh kelab-kelab dalam usaha mencari bakat baru bagi memperkasakan pasukan pada masa depan.

" Kami akan buat program pembangunan di Pulau Pinang, itulah falsafah di Penang FC," kata pengurus belia Penang, M Kamalesh.

Menurut Pengurus belia Kedah Darul Aman, Koet King Heyong: "Pemain muda perlu kaji lebih mendalam tentang bola sepak. Perlawanan sahaja tidak cukup bagi kematangan mereka dalam menangani situasi (di atas padang)."

Sementara itu, pengurus Terengganu 3, Rashdi Hamad, berpendapat: "(Dua tahun ini) kami tidak dapat mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan Liga Super."