"Jika mahu profesional, buat betul-betul," itu reaksi pemerhati sukan negara, Haresh Deol, yang menegaskan kehadiran Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) ibarat melepas batuk di tangga.

Usul yang dijelamakan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk membentuk sebuah entiti berkecuali mula dibincangkan selepas setahun mereka bersama Liga Malaysia.

Pembentukan FMLLP sendiri turut menimbulkan pelbagai andaian ekoran dakwaan penglibatan beberapa individu yang dianggap tidak jelas niatnya.

"Dari hari pertama, FAM dan FMLLP kelihatan tidak bebas dan telah mencetus pelbagai kontroversi.

"Orang yang memberikan khidmat nasihat kepada FAM, mereka juga yang menerajui FMLLP. Walaupun perkara itu tidak salah, tetapi ia menimbulkan persepsi yang tidak baik," jelasnya.

Idea yang cuba diketengahkan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menolak terus kehadiran FMLLP dan memulangkan semula kuasa pentadbiran Liga Malaysia kepada FAM, ada benarnya.

Namun, ada syarat yang perlu diletakkan berkaitan idea tersebut di mana perlu ada pembaharuan keseluruhan, terutama melibatkan badan induk FAM itu sendiri.

"Di atas kertas, apa yang dicadangkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ) memang praktikal.

"Tetapi secara realiti di Wisma FAM, adakah ia akan berhasil, saya sendiri tidak tahu dan saya menjangkakan TMJ sendiri tidak mempunyai jawapannya.

"Mereka perlu mencuba terlebih dahulu, baru mereka akan mengetahuinya, mungkin perkara tersebut berhasil, mungkin juga tidak."