Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak memberi lampu hijau kepada penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh, untuk menyertai skuad Harimau Malaya dengan status pemain naturalisasi apabila presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, bersikap terbuka mengenai perkara itu.

Sumareh mencetuskan sensasi apabila dilapor sudah menerima taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu, sekali gus melayakkan dirinya untuk beraksi bersama skuad negara menjelang Piala Suzuki AFF, November depan, walaupun masih belum mendapat panggilan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan badan induk itu sedia untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi beraksi bersama skuad negara asalkan pemain terbabit memenuhi syarat yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kalau mengikut prosedur FIFA, jika seseorang pemain itu telah melebihi tempoh lima tahun, mereka boleh dipanggil. Segalanya terpulang kepada Cheng Hoe.

"Mengenai liga, ia bergantung kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), jadi kita tunggu apabila tiba masanya. Kadangkala, sesuatu perkara baru itu tidak boleh ditelan dengan cepat, ia memerlukan masa," ujar Hamidin.

Isu pemain naturalisasi menjadi agenda utama dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima bagi penggal 2017-2021 di Melaka hari ini dan walaupun mendapat bantahan sesetengah pihak, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Hamidin menegaskan usaha itu akan diteruskan pihaknya demi kemajuan bola sepak negara.

"Saya dan Datuk Wira Yusoff Mahadi mungkin akan ke Brazil dan Cameroon untuk melihat lebih lanjut akan kesan baik serta buruk. Saya berharap agar semua pihak yang ingin menaikkan bola sepak di Malaysia bersabar."

Mesyuarat jawatankuasa itu turut membincangkan mengenai isu Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Bagaimanapun, Hamidin enggan mendedahkan sebarang butiran perbincangan, sebaliknya mahu memberi penghormatan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk memutuskan kedudukan NFDP selepas kedua-dua pihak mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat.

"Kami telah berbincang di dalam mesyuarat exco tetapi kami tidak boleh mendedahkannya terlebih dahulu bagi memberi penghormatan kepada Menteri Belia dan Sukan.

"Pada minggu depan, saya dan seluruh pasukan akan menemui menteri untuk menerangkan pandangan kami serta menjelaskan tentang cadangan kami," katanya.

NFDP yang diasaskan pada 2011 merupakan medan mencari dan membentuk bakat akar umbi di seluruh negara yang diilhamkan oleh kerajaan terdahulu, namun anehnya tidak memiliki pertalian dengan pemegang taruh terbesar bola sepak negara, iaitu FAM sendiri.