Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyediakan pelan B sebagai langkah alternatif untuk memastikan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada 15 Oktober depan tetap diadakan.

Pertemuan di tempat lawan itu berdepan risiko dibatalkan susulan protes anti-kerajaan yang berlarutan di wilayah berkenaan sejak Jun lalu.

Namun, keputusan sama ada perlawanan itu dibatalkan atau sebaliknya akan dibuat berdasarkan kepada persetujuan bersama di antara FAM dan Persatuan Bolasepak Hong Kong (HKFA).

Menegaskan isu keselamatan diletakkan sebagai keutamaan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, tidak menolak kemungkinan aksi berkenaan akan diadakan di Malaysia.

"Kami peka dengan apa yang berlaku di sana di mana FAM serta HKFA bekerjasama bagi memastikan keselamatan kedua-dua pasukan. Mungkin apa yang berlaku cuma membabitkan isu domestik dan tidak mengganggu bola sepak," katanya.

"Malah, Hong Kong juga sudah menjadi tuan rumah untuk aksi Kelayakan Piala Dunia dan tiada isu keselamatan timbul. Masih ada masa lagi sebelum perlawanan, mungkin situasi di sana akan berubah selepas ini."

Perlawanan menentang Hong Kong merupakan aksi penutup buat skuad Harimau Malaya pada Oktober ini dalam misi memperbaiki ranking dunia tatkala Malaysia kini menghuni kedudukan ke-158.

Sebelum itu, skuad negara akan berdepan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober ini sebelum menentang Vietnam untuk aksi ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, lima hari kemudian.

"Kami sensitif dan sudah bersedia dengan Pelan B jika berlakunya perkara tidak dijangka. Kami akan cuba mendapatkan persetujuan HKFA untuk melangsungkan perlawanan di sini dan kalau mereka tidak bersetuju, mungkin kita akan batalkan aksi persahabatan ini."