Pemain tengah Selangor, Mohd Faiz Nasir, mengidamkan untuk membina legasi sebagai jeneral baru skuad The Red Giants dalam usaha mereka menjadi pencabar Liga Super musim ini.

Penampilan kompetitif pertamanya bersama Selangor ketika menentang Felda United, Ahad lalu, menyaksikan pemain itu berjaya memikat hati peminat meskipun pasukan bimbingan B. Sathianathan itu sekadar seri 1-1.

Faiz menjelaskan dia semakin serasi dengan corak permainan Selangor, apatah lagi Sathianathan memberi kepercayaan kepadanya untuk mengawal jentera tengah pasukan.

"Saya sangat selesa kerana sudah membiasakan diri dengan pasukan ketika pra-musim. Bagi saya tiada masalah. Jika diberi peluang, saya akan buat yang terbaik. Mungkin jurulatih mempercayai saya," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan pertama kelmarin, dia mengakui terkilan gagal membantu pasukannya mencapai misi tiga mata, namun bertekad untuk menebus kekecewaan itu apabila Selangor bakal bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menentang Petaling Jaya City FC, Sabtu ini.

"Sebelum ini memang sangat kecewa kerana tidak mendapat tiga mata di laman sendiri. Apabila jurulatih letak saya dalam kesebelasan utama, mungkin saya boleh tunjukkan kemampuan yang lebih."