Bintang baru Selangor FC, Faisal Halim, menjangkakan saingan Liga Malaysia 2023 jadi musim paling mencabar sejak bergelar pemain profesional pada 2016.

Ini susulan permintaan tinggi penyokong Merah Kuning terhadap dirinya tatkala Faisal sedia membentuk gandingan berbisa bersama penyerang utama, Ayron del Valle.

"Saya berharap lima perlawanan utama pasukan Selangor dapat menampilkan kemajuan dalam mutu permainan. Kami mahu berusaha dalam perlawanan demi perlawanan. Saya berharap Selangor mampu menghasilkan sesuatu musim ini," kata Faisal.

"Kehadiran Del Valle sudah tentu menjadi harapan untuk membantu pasukan menghadapi saingan yang panjang dan saya berharapkan kejayaan mampu dilakar musim ini.

"Kini berusia 25 tahun, saya tidak mengatakan memiliki pengalaman yang banyak namun ia cukup untuk mengatasi sebarang cabaran yang mendatang. Bersama Selangor, saya mahu terus meningkatkan kualiti permainan sekaligus membantu pasukan seperti yang saya lakukan bersama pasukan terdahulu."