Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, percaya Cesc Fabregas perlu berhijrah bagi mendapatkan kontrak jangka panjang.

Kontrak Fabregas bersama Chelsea akan berakhir penghujung musim ini dan dia kelihatan telah mengucapkan selamat tinggal kepada saingan bola sepak Inggeris, Sabtu lalu, dengan mengambil masa untuk melambai ke arah penyokong yang hadir menyaksikan kemenangan The Blues ke atas Nottingham Forest dalam saingan Piala FA di Stamford Bridge.

Pengurus Monaco, Thierry Henry, yang juga bekas rakan sepasukan Fabregas ketika bersama Arsenal, mengesahkan semalam kelab Ligue 1 itu telah berbincang dengan pemain berusia 31 tahun itu dan Sarri berasakan pemain tengah itu harus berhijrah bagi mendapatkan kontrak lebih daripada setahun berbanding di Chelsea.

Bercakap menjelang aksi separuh akhir Piala EFL berdepan Tottenham, Sarri berkata, "Saya hanya boleh memberikan pendapat saya, saya tidak tahun mengenai keputusan kelab dan pendapat saya adalah Fabregas perlu berhijrah.

"Chelsea memiliki peraturan, iaitu kontrak pembaharuan selama satu tahun diberikan kepada pemain berusia lebih daripada 30 tahun. Saya tidak mahu pemain yang penting seperti Fabregas tidak gembira bersama kelab ini," ujarnya.

Monaco dilihat menjadi kelab utama yang bakal menandatangani pemain kebangsaan Sepanyol itu, yang menyertai Chelsea daripada Barcelona pada 2014.

Henry mendedahkan berminat untuk membawa Fabregas beraksi bersama Monaco dalam misi untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan liga.

"Fabregas boleh berbincang dengan mana-mana pasukan," katanya.

"Seperti yang anda ketahui, dia telah menerima tepukan gemuruh ketika Chelsea mengatasi Forest. Dia telah memberikan yang terbaik untuk saingan Liga Perdana Inggeris.

"Dia bebas menyertai mana-mana pasukan. Buat masa ini, kami telah berbincang dan menunggu keputusannya.

"Fabregas merupakan seorang pemain berkualiti, banyak pasukan akan cuba mendapatkan khidmatnya."