Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, masih memerlukan khidmat pemain tengah, Azidan Sarudin, di sebalik khabar angin mengenai penghijrahan pemain itu ke pasukan lain bertiup kencang menjelang jendela perpindahan bermula 15 Mei ini.

Azidan kembali menyarung jersi skuad warga kota pada Disember tahun lalu, bagaimanapun, dia bergelut untuk merebut posisi di bahagian tengah dan jarang membarisi kesebelasan utama Kuala Lumpur pada musim ini.

Justeru, ia menimbulkan spekulasi bahawa Azidan akan berhijrah ke pasukan baru.

Fabio memahami situasi sukar yang dihadapi Azidan dan menjelaskan dia masih mahukan khidmat pemain itu dalam skuad Kuala Lumpur.

"Bagi saya, dia akan kekal. Kami harus berbincang dan berjumpa dengannya bagi mendapatkan penjelasan apa yang dia fikir dan apa yang dia mahu.

"Kini kami hanya fokus pada perlawanan dan kami akan jelaskan selepas ini," katanya.

Bagi Azidan, dia sedang mempersiapkan diri bagi mengharungi perlawanan Liga Perdana menentang pasukan MISC-MIFA di Stadium Selayang, malam ini.

Katanya, sebarang keputusan hanya akan ditentukan selepas ini apabila pertemuan empat mata diaturkan bersama Fabio.

"Semua pemain kini menunjukkan prestasi 100 peratus kepada jurulatih baru bagi melayakkan diri ke Piala Malaysia.

"Untuk perlawanan menentang MISC-MIFA, kami akan bermain bersungguh-sungguh," katanya.