Monaco kini berhadapan keadaan bakal kehilangan seorang lagi pemain selepas Fabinho dilaporkan tetap dengan keputusan mahu berhijrah.

Sebelum ini, Bernardo Silva, Benjamin Mendy dan Tiemoue Bakayoko telah berhijrah ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala Thomas Lemar, Kylian Mbappe serta Fabinho sendiri dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan juara Ligue 1 musim lalu itu.

Fabinho berjaya menarik minat Manchester United dan tanpa berselindung, dia mendedahkan keinginannya untuk menyelesaikan perpindahan.

“Saya berasa bagus, tiada apa yang perlu dijelaskan mengenai situasi saya dan kelab tahu apa yang saya mahukan.

“Saya berharap akan dapat meneruskan cara sebegini dan Monaco akan kekal seperti biasa,” ujar Fabinho.

Situasi itu tampak berlawanan dengan kenyataan Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilyev, yang menegaskan kelab itu tidak mahu menjual Lemar atau Fabinho pada musim panas ini.

“Kami perlu mengekalkan setiap pemain yang ada di sini.

“Fabinho adalah pemain utama yang perlu berada bersama pasukan, begitu juga dengan Lemar dan kami telah membincangkan perkara ini,” katanya.