Jurgen Klopp menjangkakan Fabinho dan Dejan Lovren akan kembali menjalani latihan penuh minggu depan tetapi James Milner dan Naby Keita tidak dapat diturunkan menjelang kunjungan Liverpool ke laman Tottenham Hotspur bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi esok.

Pemain tengah bertahan, Fabinho, tidak dapat diturunkan sejak penghujung November lalu selepas mengalami kecederaan ligamen pergelangan kaki sewaktu terikat 1-1 dengan Napoli dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Pertahanan tengah, Lovren, pula terpaksa berehat selama sebulan kerana masalah otot dengan Joe Gomez membentuk gandingan bersama Virgil van Dijk buat pendahulu Liga Perdana itu sepanjang ketiadaannya.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu semakin hampir untuk kembali beraksi dalam perlawanan menentang seteru tradisi, Manchester United, hujung minggu depan.

"Kami menjangkakan Dejan dan Fabinho kembali berlatih minggu depan dan akan melihat sama ada ia cukup awal untuk mereka diturunkan dalam perlawanan menentang United," kata Klopp.

"Mereka berusaha dengan amat gigih dan mengikuti rentak kami, ia sesuatu yang baik."

Dalam pada itu, dua pemain tengah, Milner dan Keita, akan terlepas pertemuan di London awal pagi esok kerana mengalami kecederaan otot.

"James dan Naby tidak dapat diturunkan.

"Kedua-duanya mengalami kecederaan otot di tempat berbeza.

"Tiada jangka masa yang ditetapkan.

"Kami terbuka pada bila-bila mereka mahu kembali menyertai kami apabila pasukan perubatan memberikan lampu hijau.

"Bukan minggu ini atau minggu depan, kami akan melihatnya kemudian," tambahnya.

Klopp turut menjangkakan tentangan hebat daripada Tottenham biarpun pasukan itu akan turun tanpa kapten dan penyerang prolifik, Harry Kane.

"Saya menjangkakan pasukan Tottenham yang tersusun.

"Mereka pasti akan menumpukan kepada aspek bertahan dan menggunakan serangan balas tetapi pasukan itu terlalu bagus secara teknikal untuk hanya melakukannya.

"(Christian) Eriksen, (Dele) Alli, (Giovani) Lo Celso, ramai pemain tengah mereka yang mampu mencipta situasi, juga dengan kepantasan yang mereka ada dengan kehadiran Lucas (Moura) and Son (Heung-min).

"Kehadiran (Serge) Aurier dan (Ryan) Sessegnon akan menambah kepantasan di bahagian sayap.

"(Jose) Mourinho adalah pengurus berkelas dunia dengan sasaran yang spesifik.

"Dia mahu menang. Saya amat menghormatinya.

"Dia akan memanfaatkan setiap situasi yang dilalui pasukannya.

"Begitulah pengurus melakukan tugas mereka," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa