Persatuan Bolasepak England (FA) sedang menyiasat perpindahan Jadon Sancho daripada Watford ke Manchester City pada 2015 atas dakwaan yang melibatkan pembayaran kepada ejen pemain itu.

Akhbar Jerman, Der Spiegel, mendakwa sudah menemui dokumen daripada pemberi maklumat mereka, Football Leaks, yang menunjukkan City melakukan pembayaran £200,000 (RM1.07 juta) kepada Emeka Obasi sebagai sebahagian daripada kontrak pencarian pemain untuk mencari bakat muda dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Der Spiegel mendakwa pembayaran itu berkait dengan perpindahan Sancho daripada Watford sewaktu dia berusia 14 tahun di mana proses itu bertentangan dengan undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang melarang sebarang tansaksi ejen melibatkan pemain di bawah umur.

Akhbar itu turut mendakwa sudah memiliki e-mel yang dihantar kepada bapa Sancho mengenai gaji dan bonus yang akan diterimanya selepas bergelar pemain profesional.

Berdasarkan laporan itu, peguam kelab berkenaan kemudian menyatakan kiriman itu bukan merupakan surat tawaran daripada pihak mereka.

Dalam kenyataan kepada Omnisport, jurucakap FA dipetik sebagai berkata: "Kami boleh mengesahkan bahawa FA akan menyiasat tuduhan itu."

City menyatakan mereka tidak akan memberikan sebarang komen berkenaan laporan tersebut kerana dokumen itu dikatakan diperoleh secara haram ketika mereka menjawab tuduhan Der Spiegel yang mendakwa kelab itu enggan memberikan respons terhadap laporan mereka.

Satu kenyataan daripada jurucakap City, Jumaat lalu, tertulis: "Berhubung dengan laporan yang diterbitkan Der Spiegel, dan bertentangan dengan kenyataan mereka bahawa Manchester City FC tidak menjawab pertanyaan mereka, sila lihat kenyataan yang dihantar kepada mereka awal minggu ini.

"Anda perlu melihat kenyataan itu dahulu, namun amat penting untuk menggunakan ia sepenuhnya kerana setiap unsur adalah material, seperti yang kami katakan kepada Der Spiegel dalam jawapan kami.

"Kami tidak akan memberikan apa-apa komen mengenai bahan-bahan di luar konteks yang dikatakan telah digodam atau dicuri daripada City Football Group dan kakitangan Manchester City dan orang yang bersekutu. Usaha untuk merosakkan reputasi kelab ini telah diatur dengan jelas."

Sancho menghabiskan dua tahun bersama City sebelum berpindah ke Borussia Dortmund untuk memperoleh lebih peluang beraksi dalam skuad utama.

Dia yang kini berusia 18 tahun telah berkembang untuk menjadi pemain bintang buat pendahulu Bundesliga itu dengan menghasilkan enam gol dan 10 bantuan jaringan dalam 16 penampilan utama musim ini.