Hukuman gantung 18 bulan daripada segala aktiviti bola sepak yang dihadapi Joey Barton adalah sekatan yang paling pendek mampu dijatuhkan Persatuan Bolasepak England (FA) berdasarkan kekerapan pemain itu terlibat dalam aktiviti berjudi.

Barton membuat 1,260 pertaruhan dalam tempoh 10 tahun di antara Mac 2006 hingga Mei 2016 dengan jumlah taruhan mencecah GBP205,172.79 -- termasuk menanggung rugi sebanyak GBP16,708.29.

Dia turut didenda GBP30,000 dengan pemain berusia 34 tahun itu mengambil keputusan untuk bersara awal.

Dalam satu kenyataan bertulis yang diterbitkan Suruhanjaya Peraturan Bebas (IRC) semalam, FA menjelaskan bahawa mereka mengambil kira faktor Barton pernah digantung satu perlawanan ekoran kesalahan berjudi di Scotland dalam menentukan bagaimana bekas pemain Manchester City dan Newcastle United itu perlu dihukum.

"Aktiviti berjudi adalah sangat serius, jadi perlunya ada hukuman setimpal terhadap kesalahan ini," kata FA.

"Selepas meneliti segala bukti dan perbincangan, IRC mendapati penggantungan18 bulan daripada segala aktiviti bola sepak merupakan hukuman yang setimpal dan paling singkat mampu diberikan terhadap Barton.

"Kami juga mengambil kira faktor umurnya. Dia telah menikmati karier yang cukup baik tetapi pada masa sama melanggar pelbagai peraturan mengenai aktiviti pertaruhan.

"Jika dia disabitkan kesalahan lebih awal, hampir pasti hukumannya adalah gantung serta-merta. Tetapi itu tidak berlaku, sekaligus dia menikmati karier yang panjang.

"Jika hukuman tersebut dijatuhkan terhadap pemain muda, mungkin pemain itu akan berasa tekilan tetapi sebagai pemain berusia seperti Barton, dia tidak perlu merasai senario itu.

"Selepas keputusan dibuat, setiap daripada mereka yang menganggotai suruhanjaya berasakan ia adalah keputusan yang layak diterima Barton."

Barton mengesahkan dia bakal membuat rayuan terhadap tempoh penggantungan tersebut dengan pengendali Burnley -- majikan terbaru Barton -- menyifatkan hukuman tersebut adalah keras.

"Kami tahu mengenai peraturan ini, termasuk Joey," kata pengurus Burnley, Sean Dyche. "Semua orang tahu kamu tidak dibenarkan terbabit dalam perjudian bola sepak apabila kamu terlibat dalam bola sepak.

"Tiada alasan lain mengenai perkara itu. Kami menerima sepenuhnya keputusan FA.

"Bagi saya, apabila membandingkan hukuman Barton dengan segala yang pernah berlaku, hukuman tersebut agak keras. Bagi saya, 18 bulan terlalu panjang."

"Tetapi FA perlu memainkan watak mereka. Mereka mahu membuktikan bahawa perlunya tegas dalam kesalahan seperti ini. Tetapi saya berharap ini adalah permulaan di mana mereka akan mengambil serius faktor lain, antaranya penipuan dalam bola sepak."