Lewis Hamilton mengakui tidak selesa berlumba di Arab Saudi berhubung rekod hak asasi manusia negara itu sambil berkata ia bukan pilihannya untuk berada di sana.

Arab Saudi menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pertamanya di Jeddah, hujung minggu ini, sebagai sebahagian daripada perjanjian 10 tahun yang dimeterai.

Di sebalik pertambahan jadual perlumbaan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menuduh F1 bersubahat bagi memulihkan imej penganjur itu.

Bagaimanapun, juara dunia tersebut berharap perlumbaan hujung minggu ini sekurang-kurangnya akan membantu meningkatkan kesedaran lebih lanjut mengenai isu itu.

"Saya rasa sukan dan kita semua bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang isu-isu tertentu yang pernah disaksikan, khususnya hak asasi manusia di negara-negara yang akan kami singgah," katanya.

“Saya tidak boleh berpura-pura menjadi seolah-olah orang yang paling berpengetahuan atau mempunyai pemahaman yang paling mendalam tentang seseorang yang dibesarkan dalam masyarakat di sini yang banyak dipengaruhi oleh peraturan tertentu.

"Adakah saya berasa selesa di sini? Saya tidak akan mengatakan saya selesa.

"Tetapi bukanlah menjadi satu pilihan saya untuk berada di sini -- sukan telah membawa saya ke mari. Sama ada tepat atau salah, saya rasa adalah penting untuk kami cuba meningkatkan kesedaran sepanjang berada di sini."




Pemandu Mercedes itu menuju ke perlumbaan kedua terakhir musim ini dengan lapan mata di belakang pendahulu kejuaraan, Max Verstappen.

Verstappen mampu mengecapi kejuaraan sulungnya hujung minggu tetapi Hamilton tetap berkeyakinan untuk memberikan tekanan selepas mengungguli dua perlumbaan terakhir di Brazil dan Qatar.

"Saya lebih santai berbanding sebelum ini," katanya.

"Saya sudah lama berada di tahap teratas. Saya masih ingat dengan kejuaraan pertama saya, malah kedua dan ketiga saya... saya hampir tidak dapat melelapkan mata.

“Kini saya lebih yakin tentang diri sendiri dan mampu membawa diri dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Saya tidak mampu mengubah masa lalu -- apa yang boleh saya lakukan ialah bersedia 100 peratus untuk apa yang ada di depan saya dan saya pasti saya mampu melakukannya."